LATAR BELAKANG PENDANG LATAR BELAKANG PENDANG

Nama ‘Pendang’ dikatakan berasal daripada nama ‘Pendiat’ yang bermakna parit atau lubang yang digali khas untuk menangkap dan menjinakkan gajah.Gajah-gajah yang telah dijinakkan dimandikan di telaga sejarah yang terdapat berhampiran Balai Polis Daerah Pendang. Menurut sejarah, telaga ini adalah telaga asal dan tidak pernah kering walaupun di musim kemarau panjang.Anak-anak gajah dipelihara di sebuah kampung yang bernama Kubang Anak Gajah dan gajah-gajah yang mati pula akan ditanam di satu tempat bernama Kampung Gajah Mati.

Pada zaman tersebut, Pendang adalah tempat pembiakan gajah yang terbesar dan terkenal di Negeri Kedah selain dari Mukim Naga di Daerah Kubang Pasu. Gajah menjadi kenderaan utama pada masa itu terutama sebagai kenderaan darat untuk menghantar ‘ufti’ ( Bunga Emas ) ke Negeri Siam.Pendang merupakan sebuah daerah dalam Negeri Kedah Darul Aman yang diwartakan pada 1 Februari 1975 dan disempadani oleh Daerah Kota Setar di bahagian Utara, Daerah Yan di Barat, Daerah Padang Terap dan Sik di sebelah Timur dan Daerah Kuala Muda di bahagian selatan. Keluasan bagi Daerah Pendang ialah 62,929 hektar atau 629.29 kilometer persegi dan terbahagi kepada lapan mukim iaitu Mukim Tobiar, Mukim Padang Pusing, Mukim Guar Kepayang, Mukim Padang Peliang, Mukim Rambai, Mukim Bukit Raya, Mukim Padang Kerbau dan Mukim Air Puteh.

Sebanyak 27,639 hektar tanah di Daerah Pendang digunakan untuk tanaman getah manakala 18,462 hektar tanah digunakan untuk tanaman padi. Antara tanaman yang semakin pesat diusahakan di Daerah Pendang ialah rambutan, durian, cempedak, mangga, dokong, limau bali, nangka dan manggis. Sektor perniagaan yang terdapat di Daerah Pendang dibahagikan kepada dua kategori iaitu perniagaan formal (barang runcit dan perkhidmatan) dan perniagaan tidak formal (gerai dan penjaja). Aktiviti perniagaan di Daerah Pendang tertumpu pada kawasan penempatan utama seperti Pekan Pendang, Tanah Merah, Tokai, Kubur Panjang, Bukit Jenun, Kilang Kechik, Kokbah dan Kampung Baru.

Daerah Pendang tidak mempunyai kawasan khusus untuk industri. Sektor perindustrian adalah berselerak di merata tempat. Industri di Daerah Pendang banyak tertumpu kepada hasil pertanian seperti kilang beras dan getah. 68 peratus kilang di daerah Pendang dimiliki oleh kaum Cina yang terlibat dalam semua jenis kilang. Melayu memiliki 26 peratus jumlah kilang di Daerah Pendang, hampir semuanya terlibat dalam industri makanan. Kaum-kaum lain memiliki kurang dari lima peratus.

Pages: 1  2